Sunday 25 September 2011

BM Macroteaching



REFLEKSI MAKROPENGAJARAN
KEKUATAN
Kelebihan dan kekuatan yang dapat dikesan dalam menjalankan tugasan makropengajaran saya ialah kejelasan memberikan arahan dalam penyampaian pelajaran. Kejelasan penyampaian memainkan peranan dalam kefahaman murid. Arahan yang diberi jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru dan mereka dapat melakukan aktiviti mengikut arahan guru.
Selain itu,sebahagian aktiviti dalam P&P saya sangat berkesan dan menarik. Kaedah penyampaian saya bersesuaian dengan tahap pemikiran pelajar dan keadaan persekitaran. Murid-murid melibatkan diri secara aktif semasa menjalankan P&P. Misalnya murid-murid berasa seronok semasa menyanyi. Murid-murid juga sangat aktif semasa saya meminta mereka keluar untuk melakukan simulasi secara gerak laku.  Selain itu, gambar yang berkaitkan dengan P&P saya juga dipaparkan semasa sesi P&P. Suasana pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan.

KELEMAHAN
Kelemahan yang dapat dikesan dalam menjalankan tugasan makropengajaran saya ialah sebahagian murid tidak memberikan perhatian semasa guru mengajar. Saya mendapati beberapa orang murid-murid di bahagian belakang kelas telah membuat bising semasa pengajaran saya. Selain itu,dalam kelas saya juga terdapat dua orang murid yang datang dari kelas pemulihan, mereka asyik menjerit semasa saya menjalankan P&P. Ada kalanya saya terpaksa berhenti mengajar kerana kebisingan murid-murid ini telah menganggu pengajaran sehingga mereka tidak dapat memberi perhatian kepada pengajaran saya. Murid-murid yang bising bukan sahaja tidak dapat menguasai kemahiran yang diajar tetapi murid-murid lain juga terjejas dan ini berlaku tidak adil kepada semua murid-murid yang lain.
Selain itu, P&P saya tiada pengurusan masa yang efisien. Saya lebih menumpukan untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran berbanding pemahaman para pelajar mengenai topik tersebut.Saya telah mengajar langkah 1 dan langkah 2 dengan terlalu cepat. Atas sebab ini,saya mempunyai masa yang terlalu banyak sehingga saya terpaksa mengubah langkah 3 dalam rancangan pengajaran saya dengan menambahkan lagi satu aktiviti iaitu membina ayat. Sebenarnya aktiviti membina ayat tidak wujud dalam RPH saya.

LANGKAH MENGATASI
Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam tugasan makropengajaran, penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh saya ialah pengurusan masa. Saya perlu menepati ketetapan masa seperti yang ditentukan dalam RPH. Ketetapan masa perlu diikut bagi melancarkan proses P&P. Hal ini juga akan memudahkan guru menyelesaikan setiap bahagian penyampaian pengajaran dari permulaan sesi pengajaran hingga tamat.
            Pendekatan pengajaran yang lebih menyeluruh dan berkesan juga perlulah dilaksanakan. Berikan contoh-contoh yang bersesuaian dan berkaitan dengan kehidupan seharian agar mereka dapat mengaplikasikan pengetahuan tersebut seterusnya menjadi suatu hikmah dalam kehidupan mereka. Gambarajah dan animasi video mengenai boleh dipaparkan semasa sesi P&P supaya suasana pembelajaran akan menjadi lebih menyeronokkan.
 Untuk menyelesaikan masalah murid-murid  membuat bising, saya ingin menjalankan langkah-langkah berikut:
-       menyusunkan semula kedudukan murid-murid di dalam kelas. Membahagikan kepada empat kumpulan mengikut tahap kebolehan yang berbeza.
-       menggunakan pelbagai kaedah / teknik yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka semasa pengajaran dan pembelajaran. Mereka diberikan latihan-latihan yang mudah berbeza dengan murid-murid lain.